KISAH MASYARAKAT
TABAHNYA KAU "WANITA TERHEBAT"
Siapa yang mahu diduga? Siapa kita untuk menidakkan takdir Ilahi ? Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada
hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah.
Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’diri-Nya di
sebalik semua ujian-Nya.Pada ujian sakit, Allah memperkenalkan diri-Nya yang
Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah memperkenalkan diri-Nya yang Maha
Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diri-Nya yang Maha
Penyabar.
Setiap insan yang wujud di
dunia ini akan menghadapi ujian. Cumanya ujian itu dalam bentuk yang berbeza.
Ada yang kehilangan insan yang tersayang, ada juga yang mengalami penderitaan
sakit seperti kanser dan sebagainya. Allah uji, tandanya Allah sayang. Allah
rindu doa dan rintihan kita. Buat insan
yang diuji, semoga tabah dan sabar dengan ujian Allah. Berat mata memandang,
berat lagi bahu yang memikul. Hidup sebagai pasangan suami isteri, mungkin
tidak akan lari dari ditimpa pelbagai ujian dari Allah. Sebagai manusia biasa,
kehidupan harus diteruskan. Bersabar dan redhalah menghadapi takdir Ilahi. Pada tarikh 03 Mei 2017, merupakan sejarah hitam yang berlaku dalam
kehidupan seorang insan yang bernama Siti Rohayu Ibrahim berumur 26 tahun. Hal
ini demikian kerana suaminya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Siapa
sangka dalam keadaan sihat tiba-tiba boleh menjadi sakit? Kejadian itu telah
menyebabkan suaminya koma. Hati wanita mana yang tidak terusik. Namun, memikirkan dia mempunyai suami yang sangat
memerlukannya di sisi, dia perlu bangkit untuk menghadapi ujian ini dan
membesarkan anak-anaknya yang masih kecil.
Imbas kembali pada hari kejadian. Pada petang itu yang bertarikh 03
Mei 2017, Muhamad Ridzwan Zaki yang berusia 27 tahun, sedang menunggang
motosikal miliknya dalam perjalanan pulang dari bekerja. Tiba-tiba, motosikal
yang ditunggang olehnya telah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat
roda iaitu kereta Toyota Hilux. Motosikal yang ditunggang oleh Muhamad Ridzwan
telah hilang pertimbangan. Kejadian tersebut telah menyebabkan Muhamad Ridzwan,
cedera parah dan terlantar tidak sedarkan diri.
Muhamad Ridzwan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan
lanjut. Muhamad Ridzwan sempat mendapatkan rawatan perubatan selama satu bulan.
Doktor yang merawat suami Siti Rohayu memberitahu bahawa harapan Muhamad
Ridzwan untuk kembali sedar amatlah tipis. Setelah sebulan menerima rawatan
daripada pihak hospital, suaminya telah dibawa pulang ke rumah dalam keadaan
koma. Hal ini demikian kerana Muhamad Ridzwan masih tidak sedarkan diri.
Keadaannya masih sama. Jika nanti suaminya sembuh, kemungkinan tidak akan sama
seperti sedia kala ketika dia sedang sihat dahulu.
Doktor menyuruh Siti Rohayu agar berdoa dan redha dengan takdir
yang telah ditentukan oleh Allah . Siti Rohayu sentiasa berdoa agar dirinya
diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini. Harapannya hanya satu, dia mahu
Muhamad Ridzwan kembali sihat seperti dahulu. Siti Rohayu sangat rindukan
telatah suaminya. Apabila di rumah, dia akan menjaga suaminya dengan penuh
keikhlasan. Bagi Siti Rohayu, kasih sayang buat suaminya iaitu Muhamad Ridzwan
tidak akan pernah pudar walaupun melihat Muhamad Ridzwan hanya terlantar di
atas katil. Semasa Muhamad Ridzwan koma, pelbagai cara telah dilakukan untuk
menyembuhkan suaminya. Namun, keadaan suaminya masih sama. Siti Rohayu telah
membeli katil khas untuk suami iaitu katil caragem. Pelbagai ikhtiar telah
dilakukan untuk menyembuhkan suaminya, namun kini hanya kepada Allah dia
bermohon agar suaminya akan kembali pulih seperti sedia kala pada suatu hari
nanti.
Siti Rohayu Ibrahim, melalui laman sosialnya iaitu muka
buku (facebook) akan menulis tentang keadaan suaminya setiap hari dari hari pertama
suaminya kemalangan sehingga ke hari ini. Dalam kesibukan Siti Rohayu menjaga
suaminya yang terlantar di rumah, dia akan mengambil sedikit masa untuk membuat
coretan di laman sosial muka buku. Boleh dikatakan hampir setiap hari, akan ada
catatan dari Siti Rohayu tentang perkembangan suaminya walaupun tidak banyak
berubah. Catatannya bersahaja tetapi mampu meruntun kalbu kerana dia sentiasa
memuat naik gambar-gambar bersama suaminya ketika suaminya masih sihat dan
ceria. Dalam coretannya, Siti Rohayu sentiasa berdoa untuk kesembuhan suaminya.
Dia juga bermalam di hospital untuk menemani suaminya dan sentiasa berada di
sisi suaminya. Catatannya berbunyi begini “Bangun lah Abi. Buka lah mata Abi,
sudah lama Abi tidur. Kesian anak-anak. Bangun dan sihatlah seperti sedia kala
untuk kita jalani hidup kita seperti biasa. Anak-anak rindu Abi. Cepatlah
sedar, Sayang betul-betul perlukan Abi. Rindu suami saya yang “handsome” ini.
Jangan pernah tinggalkan Sayang dan anak-anak. Kuatlah untuk Sayang dan
anak-anak. Tanpa Abi, lumpuhlah Sayang”.
Setiap hari, Siti Rohayu akan berbisik kepada suaminya. Dia akan
membuka video tentang dirinya dan
anak-anaknya yang bergurau senda supaya suaminya mendapat kekuatan untuk
bangkit melawan kesakitan yang dialaminya. Dia mahu suaminya tahu, bahawa dia
dan anak-anaknya sentiasa di sisi dan sangat memerlukan Muhamad Ridzwan. Harapan
Siti Rohayu adalah untuk melihat suaminya tersedar dari koma.
Siti Rohayu akan berkongsi gambar sebelum suaminya kemalangan dan
gambar suaminya selepas kemalangan. Dari gambar-gambar yang dikongsi, jelas
kelihatan Siti Rohayu dan Muhamad Ridzwan merupakan pasangan yang romantik. Hal
ini demikian kerana Muhamad Ridzwan merupakan seorang bapa yang penyayang dan
sering kali merakam memori yang indah bersama isteri dan anak-anaknya. Setiap
hari jumaat, Muhamad Ridzwan akan membawa isteri dan anak-anaknya keluar.
Perkara itu menjadi rutin yang wajib buat Muhamad Ridzwan untuk membawa
anak-anaknya keluar pada hujung minggu. Tidak hairanlah jika, mereka mempunyai
banyak gambar kenangan kerana setiap kali mereka keluar, mereka akan merakam
gambar mereka sekeluarga. Setiap hari, Siti Rohayu menunggu suaminya kembali
sedar agar kehidupan mereka sekeluarga kembali ceria seperti dahulu.
Ketabahan dan kesabaran wanita dari Kampung Kayu Kelat, Jerteh yang
dikurniakan dua orang cahaya mata menjaga suaminya yang terlibat dalam
kemalangan telah mendapat pujian dan sanjungan daripada ribuan rakan kenalan
muka buku malah ada yang menghulurkan pelbagai bantuan dan ramai yang
menziarahi mereka sekeluarga walaupun hanya kenal di alam maya sahaja. Siti
Rohayu membuat coretan di laman sosialnya, untuk meluahkan rasa sedih terhadap
nasib suami dan beban hidup yang terpaksa ditanggung kerana suaminya hanyalah
bekerja sebagai penternak ikan kecil-kecilan sebelum ini. Dia terpaksa
menjalankan tugas untuk merawat suaminya, menjadi suri rumah dan dalam masa
yang sama menjadi ibu dan bapa kepada dua orang anaknya iaitu Nur Adrieyna 5
tahun dan Muhamad Riezqullah Dhiyaulhak 8 bulan kerana Muhamad Ridzwan tidak
lagi mampu bergerak malah memerlukan penjagaan dan perhatian sepanjang masa.
Siti Rohayu juga perlu mengambil alih tugas suaminya sebelum ini
memandangkan Muhamad Ridzwan masih koma. Jika sebelum ini, suaminya yang
menghantar Nur Adrieyna ke sekolah setiap hari, namun tugas itu telah diambil
alih oleh Siti Rohayu pula. Kadang-kadang semasa merawat suaminya, dia berasa
penat dan letih namun hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi isteri
yang terbaik buat suaminya.
Sokongan daripada orang ramai telah menguatkan lagi semangat Siti
Rohayu untuk menghadapi dugaan itu. Walaupun hanya kenal di alam maya, tetapi
ramai yang memberi sokongan sehinggakan ada seorang rakan dari Kuala Lumpur
sanggup menziarah mereka sekeluarga dan menyumbang katil serta peralatan
menyedut kahak untuk kegunaan suaminya. Ramai juga yang mengirim lampin pakai
buang melalui kurier untuk suaminya. Muhamad Ridzwan memerlukan perbelanjaan
kira-kira RM1500 sebulan untuk bekalan susu dan lampin pakai buang tetapi tidak
termasuk kos rawatan sampingan yang lain. Siti Rohayu menerima bantuan daripada
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM3000 untuk
kegunaan kos rawatan suaminya. Suaminya bergantung kepada susu dan Siti Rohayu
perlu memberikan suaminya minum sebanyak empat kali sehari melalui peralatan
khas yang telah disediakan. Kita hanya merancang, namun sebaik-baik perancangan
adalah dari Allah SWT. Walaupun diduga dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam
hidup, Siti Rohayu kelihatan tabah dan redha dengan takdir yang telah
ditentukan oleh Allah.
Selepas beberapa bulan koma, Muhamad Ridzwan telah menunjukkan
perubahan yang positif. Walaupun tidak sedar sepenuhnya, tetapi perkara ini
cukup membanggakan Siti Rohayu. Jika sebelum ini, suaminya tidak menunjukkan
apa-apa perubahan tetapi sekarang suaminya sudah boleh mengerakkan mata. Dia
sudah boleh melihat, tetapi tidak boleh bercakap. Muhamad Ridzwan tidak boleh
bergerak. Setiap kali Siti Rohayu berbisik kepada suaminya, air mata suaminya
pasti akan mengalir. Semua keperluan suaminya akan disediakan oleh Siti Rohayu.
Betapa tabah seorang insan yang bernama Siti Rohayu ini. Dari mana datangnya
semangat dan kekuatan ini? Semangat ini datangnya daripada sang suami. Jika
Siti Rohayu tidak berdaya menghadapi ujian ini, bagaimanakah dengan nasib suami
dan anak-ankaknya? Justeru, Siti Rohayu bangkit untuk menghadapi ujian ini
dengan tabah dan sabar. Allah tidak akan menguji hambaNya jika hambaNya tidak
mampu. Siti Rohayu akan bertahan dengan adanya suami di sisi. Baginya,
perubahan yang ditunjukkan oleh suaminya sudah cukup menggembirakan hatinya.
Walaupun sibuk menguruskan suami dan anak-anaknya, namun hal itu
tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki buat keluarganya kecilnya.
Kadang-kadang, Siti Rohayu terpaksa meninggalkan suami dan anak-anaknya di
rumah kerana dia perlu mengikuti seminar atau pun kursus. Tetapi Siti Rohayu akan
meminta pertolongan daripada adik beradik dan saudara mara untuk menjaga suami dan anak-anak. Siti Rohayu
sangat mengambil berat terhadap suaminya dan anak-anaknya. Walaupun dia
terpaksa meninggalkan suami dan anak-anaknya di rumah tetapi dia tidak
membiarkan suaminya dalam keadaan tidak terurus. Siti Rohayu akan memastikan
suaminya akan dijaga oleh seseorang. Siti Rohayu sangat mengambil berat
terhadap kebersihan suaminya. Hal ini demikian kerana, walaupun tubuhnya kecil
sahaja tetapi dia mampu menguruskan dan memandikan suaminya yang bertubuh besar
darinya. Tetapi selepas suaminya terlibat dalam kemalangan dan mengalami koma,
tubuh suaminya semakin kurus dan wajahnya juga berubah.
Setiap hari, Siti Rohayu akan menghabiskan masa bersama-sama
suaminya. Dia akan bercakap dengan suaminya memandangkan suami sudah boleh melihat.
Setiap kali Siti Rohayu mencium suaminya, suaminya akan membalas ciuman itu.
Sebelum ini, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Perkara itu sedikit
sebanyak telah menggembirakan hati sang isteri. Kini, Muhamad Ridzwan semakin
pulih. Dia sudah pun boleh duduk di atas kerusi roda. Hal ini berlaku
disebabkan dorongan dan sokongan daripada sang isteri. Sang isteri telah
memainkan peranan yang sangat penting dalam menyembuhkan sang suami. Muhamad
Ridzwan semakin pulih disebabkan oleh, semangat juang yang tinggi dan seorang
insan yang tidak pernah meninggalkan dirinya di saat duka dan suka iaitu
seorang wanita yang bergelar isteri.
Untuk menampung kehidupannya, Siti Rohayu telah membuat produk nya
sendiri iaitu membuat Jus Wanayu. Untuk menghasilkan sesuatu produk, ianya
memakan masa yang lama. Pada awalnya, Jus itu dinamakan sebagai Jus Ayu sahaja
namun tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kemudian, Siti Rohayu menukar jus itu dengan nama Jus Wanayu. Selain itu, dia
juga mula berkecimpung dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Siti
Rohayu juga telah menjadi stokis dan ejen bagi produk yang lain seperti menjual
tudung secara online. Siti Rohayu bertekad untuk mengubah hidup mereka
sekeluarga demi memastikan keselesaan sang suami. Memandangkan suaminya tidak
pulih sepenuhnya lagi, dialah yang perlu memikul tugas untuk mencari rezeki.
Ketabahan dan kesabaran Siti Rohayu ini telah membuka mata rakyat
Malaysia. Hal ini demikian kerana bukan mudah untuk merawat orang yang sedang
koma. Bagi Siti Rohayu, kekuatannya adalah Muhamad Ridzwan. Oleh itu, Siti
Rohayu sedaya upaya menjaga, merawat dan menguruskan suaminya yang koma
sehinggalah suaminya kembali sedar walaupun tidak sembuh sepenuhnya. Ketabahan
dan kesabaran ini muncul apabila kita berhadapan dengan situasi yang kita tidak
pernah sangka. Semasa menjaga suaminya, dia tidak pernah lupa memberi kata
semangat buat suaminya. Walaupun suaminya masih koma, namun dia tetap berbicara
dengan suaminya. Hal ini demikian kerana, dia tahu yang suaminya memerlukan
semangat daripadanya untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Dia tidak jemu
memberi kata semangat buat suaminya. Siti Rohayu juga tidak pernah berhenti
berdoa untuk kesembuhan suaminya.
Semasa menjaga dan menguruskan suaminya, pelbagai perkara telah
berlaku. Dia hanya mampu menangis untuk mengurangkan tekanan yang dialaminya.
Pada siapa dia hendak mengadu? Kepada Allah jua tempat dia mengadu dan
melepaskan segalanya. Kadang kala, dia juga jatuh sakit. Namun, dia terpaksa gagahkan
diri untuk menjaga suami dan anak-anaknya. Dia melakukan yang terbaik buat
keluarganya. Bagi Siti Rohayu, suaminya dan anak-anak merupakan harta yang
tidak bernilai. Hal inilah yang menyebabkan dia kelihatan tabah dan sabar dalam
menghadapi ujian ini. Kasih sayang Siti Rohayu juga tidak pernah pudar dan
berbelah bahagi walaupun keadaan suaminya sudah tidak sama seperti dahulu lagi.
Sungguh tabah hatimu wahai insan yang bernama Siti Rohayu ini. Terlalu
besar pengorbanan yang diberikan kepada suamimu. Benarlah kata orang, kesetiaan
itu penting. Dalam keadaan yang sebegini, Siti Rohayu masih berada di sisi
suaminya dengan setia tanpa berpaling arah. Semoga suamimu kembali sihat
seperti sedia kala. Ketabahan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh wanita ini
menguruskan suaminya membuatkan kita pilu. Jika kita berada ditempatnya,
mampukah kita setabah dan sesabar wanita hebat ini? Dari manakah kekuatan itu
datang? Tepuk dada, tanyalah iman.
Sekian sahaja, nukilan saya buat kali.