Rabu, 22 November 2017

CERPEN PENDEK KISAH MASYARAKAT


KISAH MASYARAKAT 

TABAHNYA KAU "WANITA TERHEBAT" 

Siapa yang mahu diduga? Siapa kita untuk menidakkan takdir Ilahi ? Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah. Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’diri-Nya di sebalik semua ujian-Nya.Pada ujian sakit, Allah memperkenalkan diri-Nya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah memperkenalkan diri-Nya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diri-Nya yang Maha Penyabar. 

Setiap insan yang wujud di dunia ini akan menghadapi ujian. Cumanya ujian itu dalam bentuk yang berbeza. Ada yang kehilangan insan yang tersayang, ada juga yang mengalami penderitaan sakit seperti kanser dan sebagainya. Allah uji, tandanya Allah sayang. Allah rindu doa dan rintihan kita. Buat  insan yang diuji, semoga tabah dan sabar dengan ujian Allah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hidup sebagai pasangan suami isteri, mungkin tidak akan lari dari ditimpa pelbagai ujian dari Allah. Sebagai manusia biasa, kehidupan harus diteruskan. Bersabar dan redhalah menghadapi takdir Ilahi. Pada tarikh 03 Mei 2017, merupakan sejarah hitam yang berlaku dalam kehidupan seorang insan yang bernama Siti Rohayu Ibrahim berumur 26 tahun. Hal ini demikian kerana suaminya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Siapa sangka dalam keadaan sihat tiba-tiba boleh menjadi sakit? Kejadian itu telah menyebabkan suaminya koma. Hati wanita mana yang tidak terusik.  Namun, memikirkan dia mempunyai suami yang sangat memerlukannya di sisi, dia perlu bangkit untuk menghadapi ujian ini dan membesarkan anak-anaknya yang masih kecil.

Imbas kembali pada hari kejadian. Pada petang itu yang bertarikh 03 Mei 2017, Muhamad Ridzwan Zaki yang berusia 27 tahun, sedang menunggang motosikal miliknya dalam perjalanan pulang dari bekerja. Tiba-tiba, motosikal yang ditunggang olehnya telah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda iaitu kereta Toyota Hilux. Motosikal yang ditunggang oleh Muhamad Ridzwan telah hilang pertimbangan. Kejadian tersebut telah menyebabkan Muhamad Ridzwan, cedera parah dan terlantar tidak sedarkan diri. 

Muhamad Ridzwan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Muhamad Ridzwan sempat mendapatkan rawatan perubatan selama satu bulan. Doktor yang merawat suami Siti Rohayu memberitahu bahawa harapan Muhamad Ridzwan untuk kembali sedar amatlah tipis. Setelah sebulan menerima rawatan daripada pihak hospital, suaminya telah dibawa pulang ke rumah dalam keadaan koma. Hal ini demikian kerana Muhamad Ridzwan masih tidak sedarkan diri. Keadaannya masih sama. Jika nanti suaminya sembuh, kemungkinan tidak akan sama seperti sedia kala ketika dia sedang sihat dahulu.

Doktor menyuruh Siti Rohayu agar berdoa dan redha dengan takdir yang telah ditentukan oleh Allah . Siti Rohayu sentiasa berdoa agar dirinya diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini. Harapannya hanya satu, dia mahu Muhamad Ridzwan kembali sihat seperti dahulu. Siti Rohayu sangat rindukan telatah suaminya. Apabila di rumah, dia akan menjaga suaminya dengan penuh keikhlasan. Bagi Siti Rohayu, kasih sayang buat suaminya iaitu Muhamad Ridzwan tidak akan pernah pudar walaupun melihat Muhamad Ridzwan hanya terlantar di atas katil. Semasa Muhamad Ridzwan koma, pelbagai cara telah dilakukan untuk menyembuhkan suaminya. Namun, keadaan suaminya masih sama. Siti Rohayu telah membeli katil khas untuk suami iaitu katil caragem. Pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk menyembuhkan suaminya, namun kini hanya kepada Allah dia bermohon agar suaminya akan kembali pulih seperti sedia kala pada suatu hari nanti.
           
        Siti Rohayu Ibrahim, melalui laman sosialnya iaitu muka buku (facebook) akan menulis tentang keadaan suaminya setiap hari dari hari pertama suaminya kemalangan sehingga ke hari ini. Dalam kesibukan Siti Rohayu menjaga suaminya yang terlantar di rumah, dia akan mengambil sedikit masa untuk membuat coretan di laman sosial muka buku. Boleh dikatakan hampir setiap hari, akan ada catatan dari Siti Rohayu tentang perkembangan suaminya walaupun tidak banyak berubah. Catatannya bersahaja tetapi mampu meruntun kalbu kerana dia sentiasa memuat naik gambar-gambar bersama suaminya ketika suaminya masih sihat dan ceria. Dalam coretannya, Siti Rohayu sentiasa berdoa untuk kesembuhan suaminya. Dia juga bermalam di hospital untuk menemani suaminya dan sentiasa berada di sisi suaminya. Catatannya berbunyi begini “Bangun lah Abi. Buka lah mata Abi, sudah lama Abi tidur. Kesian anak-anak. Bangun dan sihatlah seperti sedia kala untuk kita jalani hidup kita seperti biasa. Anak-anak rindu Abi. Cepatlah sedar, Sayang betul-betul perlukan Abi. Rindu suami saya yang “handsome” ini. Jangan pernah tinggalkan Sayang dan anak-anak. Kuatlah untuk Sayang dan anak-anak. Tanpa Abi, lumpuhlah Sayang”. 

Setiap hari, Siti Rohayu akan berbisik kepada suaminya. Dia akan membuka video  tentang dirinya dan anak-anaknya yang bergurau senda supaya suaminya mendapat kekuatan untuk bangkit melawan kesakitan yang dialaminya. Dia mahu suaminya tahu, bahawa dia dan anak-anaknya sentiasa di sisi dan sangat memerlukan Muhamad Ridzwan. Harapan Siti Rohayu adalah untuk melihat suaminya tersedar dari koma.

Siti Rohayu akan berkongsi gambar sebelum suaminya kemalangan dan gambar suaminya selepas kemalangan. Dari gambar-gambar yang dikongsi, jelas kelihatan Siti Rohayu dan Muhamad Ridzwan merupakan pasangan yang romantik. Hal ini demikian kerana Muhamad Ridzwan merupakan seorang bapa yang penyayang dan sering kali merakam memori yang indah bersama isteri dan anak-anaknya. Setiap hari jumaat, Muhamad Ridzwan akan membawa isteri dan anak-anaknya keluar. Perkara itu menjadi rutin yang wajib buat Muhamad Ridzwan untuk membawa anak-anaknya keluar pada hujung minggu. Tidak hairanlah jika, mereka mempunyai banyak gambar kenangan kerana setiap kali mereka keluar, mereka akan merakam gambar mereka sekeluarga. Setiap hari, Siti Rohayu menunggu suaminya kembali sedar agar kehidupan mereka sekeluarga kembali ceria seperti dahulu.

Ketabahan dan kesabaran wanita dari Kampung Kayu Kelat, Jerteh yang dikurniakan dua orang cahaya mata menjaga suaminya yang terlibat dalam kemalangan telah mendapat pujian dan sanjungan daripada ribuan rakan kenalan muka buku malah ada yang menghulurkan pelbagai bantuan dan ramai yang menziarahi mereka sekeluarga walaupun hanya kenal di alam maya sahaja. Siti Rohayu membuat coretan di laman sosialnya, untuk meluahkan rasa sedih terhadap nasib suami dan beban hidup yang terpaksa ditanggung kerana suaminya hanyalah bekerja sebagai penternak ikan kecil-kecilan sebelum ini. Dia terpaksa menjalankan tugas untuk merawat suaminya, menjadi suri rumah dan dalam masa yang sama menjadi ibu dan bapa kepada dua orang anaknya iaitu Nur Adrieyna 5 tahun dan Muhamad Riezqullah Dhiyaulhak 8 bulan kerana Muhamad Ridzwan tidak lagi mampu bergerak malah memerlukan penjagaan dan perhatian sepanjang masa. 

Siti Rohayu juga perlu mengambil alih tugas suaminya sebelum ini memandangkan Muhamad Ridzwan masih koma. Jika sebelum ini, suaminya yang menghantar Nur Adrieyna ke sekolah setiap hari, namun tugas itu telah diambil alih oleh Siti Rohayu pula. Kadang-kadang semasa merawat suaminya, dia berasa penat dan letih namun hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi isteri yang terbaik buat suaminya.

Sokongan daripada orang ramai telah menguatkan lagi semangat Siti Rohayu untuk menghadapi dugaan itu. Walaupun hanya kenal di alam maya, tetapi ramai yang memberi sokongan sehinggakan ada seorang rakan dari Kuala Lumpur sanggup menziarah mereka sekeluarga dan menyumbang katil serta peralatan menyedut kahak untuk kegunaan suaminya. Ramai juga yang mengirim lampin pakai buang melalui kurier untuk suaminya. Muhamad Ridzwan memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1500 sebulan untuk bekalan susu dan lampin pakai buang tetapi tidak termasuk kos rawatan sampingan yang lain. Siti Rohayu menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM3000 untuk kegunaan kos rawatan suaminya. Suaminya bergantung kepada susu dan Siti Rohayu perlu memberikan suaminya minum sebanyak empat kali sehari melalui peralatan khas yang telah disediakan. Kita hanya merancang, namun sebaik-baik perancangan adalah dari Allah SWT. Walaupun diduga dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam hidup, Siti Rohayu kelihatan tabah dan redha dengan takdir yang telah ditentukan oleh Allah.

Selepas beberapa bulan koma, Muhamad Ridzwan telah menunjukkan perubahan yang positif. Walaupun tidak sedar sepenuhnya, tetapi perkara ini cukup membanggakan Siti Rohayu. Jika sebelum ini, suaminya tidak menunjukkan apa-apa perubahan tetapi sekarang suaminya sudah boleh mengerakkan mata. Dia sudah boleh melihat, tetapi tidak boleh bercakap. Muhamad Ridzwan tidak boleh bergerak. Setiap kali Siti Rohayu berbisik kepada suaminya, air mata suaminya pasti akan mengalir. Semua keperluan suaminya akan disediakan oleh Siti Rohayu. Betapa tabah seorang insan yang bernama Siti Rohayu ini. Dari mana datangnya semangat dan kekuatan ini? Semangat ini datangnya daripada sang suami. Jika Siti Rohayu tidak berdaya menghadapi ujian ini, bagaimanakah dengan nasib suami dan anak-ankaknya? Justeru, Siti Rohayu bangkit untuk menghadapi ujian ini dengan tabah dan sabar. Allah tidak akan menguji hambaNya jika hambaNya tidak mampu. Siti Rohayu akan bertahan dengan adanya suami di sisi. Baginya, perubahan yang ditunjukkan oleh suaminya sudah cukup menggembirakan hatinya. 

Walaupun sibuk menguruskan suami dan anak-anaknya, namun hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki buat keluarganya kecilnya. Kadang-kadang, Siti Rohayu terpaksa meninggalkan suami dan anak-anaknya di rumah kerana dia perlu mengikuti seminar atau pun kursus. Tetapi Siti Rohayu akan meminta pertolongan daripada adik beradik dan saudara mara  untuk menjaga suami dan anak-anak. Siti Rohayu sangat mengambil berat terhadap suaminya dan anak-anaknya. Walaupun dia terpaksa meninggalkan suami dan anak-anaknya di rumah tetapi dia tidak membiarkan suaminya dalam keadaan tidak terurus. Siti Rohayu akan memastikan suaminya akan dijaga oleh seseorang. Siti Rohayu sangat mengambil berat terhadap kebersihan suaminya. Hal ini demikian kerana, walaupun tubuhnya kecil sahaja tetapi dia mampu menguruskan dan memandikan suaminya yang bertubuh besar darinya. Tetapi selepas suaminya terlibat dalam kemalangan dan mengalami koma, tubuh suaminya semakin kurus dan wajahnya juga berubah.

Setiap hari, Siti Rohayu akan menghabiskan masa bersama-sama suaminya. Dia akan bercakap dengan suaminya memandangkan suami sudah boleh melihat. Setiap kali Siti Rohayu mencium suaminya, suaminya akan membalas ciuman itu. Sebelum ini, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Perkara itu sedikit sebanyak telah menggembirakan hati sang isteri. Kini, Muhamad Ridzwan semakin pulih. Dia sudah pun boleh duduk di atas kerusi roda. Hal ini berlaku disebabkan dorongan dan sokongan daripada sang isteri. Sang isteri telah memainkan peranan yang sangat penting dalam menyembuhkan sang suami. Muhamad Ridzwan semakin pulih disebabkan oleh, semangat juang yang tinggi dan seorang insan yang tidak pernah meninggalkan dirinya di saat duka dan suka iaitu seorang wanita yang bergelar isteri.

Untuk menampung kehidupannya, Siti Rohayu telah membuat produk nya sendiri iaitu membuat Jus Wanayu. Untuk menghasilkan sesuatu produk, ianya memakan masa yang lama. Pada awalnya, Jus itu dinamakan sebagai Jus Ayu sahaja namun tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kemudian, Siti Rohayu menukar jus itu dengan nama Jus Wanayu. Selain itu, dia juga mula berkecimpung dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Siti Rohayu juga telah menjadi stokis dan ejen bagi produk yang lain seperti menjual tudung secara online. Siti Rohayu bertekad untuk mengubah hidup mereka sekeluarga demi memastikan keselesaan sang suami. Memandangkan suaminya tidak pulih sepenuhnya lagi, dialah yang perlu memikul tugas untuk mencari rezeki. 

Ketabahan dan kesabaran Siti Rohayu ini telah membuka mata rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana bukan mudah untuk merawat orang yang sedang koma. Bagi Siti Rohayu, kekuatannya adalah Muhamad Ridzwan. Oleh itu, Siti Rohayu sedaya upaya menjaga, merawat dan menguruskan suaminya yang koma sehinggalah suaminya kembali sedar walaupun tidak sembuh sepenuhnya. Ketabahan dan kesabaran ini muncul apabila kita berhadapan dengan situasi yang kita tidak pernah sangka. Semasa menjaga suaminya, dia tidak pernah lupa memberi kata semangat buat suaminya. Walaupun suaminya masih koma, namun dia tetap berbicara dengan suaminya. Hal ini demikian kerana, dia tahu yang suaminya memerlukan semangat daripadanya untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Dia tidak jemu memberi kata semangat buat suaminya. Siti Rohayu juga tidak pernah berhenti berdoa untuk kesembuhan suaminya.  

Semasa menjaga dan menguruskan suaminya, pelbagai perkara telah berlaku. Dia hanya mampu menangis untuk mengurangkan tekanan yang dialaminya. Pada siapa dia hendak mengadu? Kepada Allah jua tempat dia mengadu dan melepaskan segalanya. Kadang kala, dia juga jatuh sakit. Namun, dia terpaksa gagahkan diri untuk menjaga suami dan anak-anaknya. Dia melakukan yang terbaik buat keluarganya. Bagi Siti Rohayu, suaminya dan anak-anak merupakan harta yang tidak bernilai. Hal inilah yang menyebabkan dia kelihatan tabah dan sabar dalam menghadapi ujian ini. Kasih sayang Siti Rohayu juga tidak pernah pudar dan berbelah bahagi walaupun keadaan suaminya sudah tidak sama seperti dahulu lagi.

Sungguh tabah hatimu wahai insan yang bernama Siti Rohayu ini. Terlalu besar pengorbanan yang diberikan kepada suamimu. Benarlah kata orang, kesetiaan itu penting. Dalam keadaan yang sebegini, Siti Rohayu masih berada di sisi suaminya dengan setia tanpa berpaling arah. Semoga suamimu kembali sihat seperti sedia kala. Ketabahan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh wanita ini menguruskan suaminya membuatkan kita pilu. Jika kita berada ditempatnya, mampukah kita setabah dan sesabar wanita hebat ini? Dari manakah kekuatan itu datang? Tepuk dada, tanyalah iman.     
Sekian sahaja, nukilan saya buat kali. 
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan