Isnin, 30 September 2019

Refleksi : Minggu Ketiga untuk kelas HMT 415 dan HMT 411 

                                Tapak konvokesyen di Universiti Sains Malaysia

Pada minggu ketiga, kelas untuk HMT 415 terpaksa dibatalkan disebabkan minggu tersebut merupakan minggu konvokesyen. Kelas HMT 415 yang selalu diadakan di sekitar Dewan Kuliah Foyer terpaksa dibatalkan ekoran pada minggu tersebut dewan itu digunakan untuk hari konvokesyen. 

Tetapi kelas HMT 411, berjalan seperti biasa. Seperti biasa, dalam kelas ini kami diminta untuk membentang proposal berkaitan dengan linguistik. Kami membentangkan proposal kumpulan demi kumpulan. Tetapi, kami banyak mendapat kritikan daripada Dr. Odi. Dr. Odi tidak berpuas hati dengan tajuk proposal kami. Jadi, kami perlu mengubah tajuk itu dan akan dibentangkan semula mengikut tarikh yang tertentu. 

Dalam hal ini, bagi saya kerjasama antara kumpulan sangatlah penting. Hal ini demikian kerana, kita tidak boleh menghasilkan sesuatu yang kreatif apabila kita seorang sahaja yang berfikir, jadi ahli kumpulan memainkan peranan penting dalam menjayakan sesebuah proposal itu. Dalam berkumpulan, ita boleh berkongsi idea dan bertukar-tukar pendapat serta pandangan antara satu sama lain. 

Sampai setakat ini sahaja dulu, refleksi saya tentang minggu ketiga ini. 

Jumpa lagi nanti. Asssalamualaikum 


Ahad, 22 September 2019

5 GAYA PSIKOLINGUISTIK 

GAYA 1 : PEMAHAMAN BAHASA 
Pemahaman ialah mengkaji proses-proses mental yang berlaku apabila seseorang itu mendengar, memahami dan mengingati percakapan yang didengarnya. Sebagai contohnya, seseorang penutur menghadapi masalah tergagap-gagap untuk bertutur. Hal ini demikian kerana, penutur tidak mempunyai maklumat yang cukup dan pengetahuan yang luas terhadap sesuatu perkara. 


GAYA 2 :  PEMEROLEHAN BAHASA 
Pemerolehan bahasa merupakan satu proses perkembangan bahasa manusia. Pemerolehan bahasa pertama dikaitkan dengan perkembangan bahasa kanak-kanak manakala bahasa kedua tertumpu kepada bahasa orang dewasa. Pemerolehan bahasa dikaitkan dengan penguasaan sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari secara langsung iaitu tanpa melalui pendidikan secara formal untuk mempelajarinya, sebaliknya memperolehnya dari bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat di sekitarnya. 


GAYA 3 : BAHASA DAN PEMIKIRAN 
 Pada pendapat saya, bahasa seseorang bergantung kepada pemikiran individu itu sendiri. Apabila berlaku perbezaan bahasa antara satu sama lain, ianya akan mengakibatkan cara pemikiran kita juga akan berbeza kerana mempunyai pandangan dan pendapat yang berlainan. 


 GAYA 4 :  GANGGUAN BAHASA 
Gangguan bahasa berlaku apabila kelewatan pertuturan dan bahasa tidak beransur pulih apabila kanak-kanak itu semakin membesar (sesetengah kanak-kanak dengan kelewatan seperti ini akan beransur pulih dan dianggap ‘lambat bercakap’). Kanak-kanak tersebut sukar memahami apa yang dikatakan orang lain (bahasa reseptif) atau mempunyai masalah untuk berkongsi apa yang difikirkannya (bahasa ekspresif). 


GAYA 5 : PENGHASILAN BAHASA 
Penghasilan bahasa ialah mengkaji segala proses mental yang berlaku ketika seseorang itu cuba menghasilkan percakapan atau pertuturan. Sebagai contohnya, untuk menghasilkan sesuatu bahasa seseorang penutur itu mempunyai masalah tidak mempunyai kenyakinan atau teragak-agak untuk berkomunikasi dan mempunyai masalah dalam pertuturan. 
Refleksi : Minggu Kedua bagi kelas HMT 411 dan HMT 415 


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya akan berkongsi tentang refleksi bagi subjek HMT 411 dan 415 untuk minggu kedua.

Untuk subjek HMT 415, saya dan rakan-rakan diberi tugasan untuk mencari dan membina contoh anomali dan penaabiran yang dihasilkan oleh kanak-kanak. Tugasan yang diberikan agak memcabar kerana kami perlu berfikir bagaimana  cara kanak-kanak bercakap dan berfikir. 

Selain itu, kami juga diberikan tugasan secara berkumpulan iaitu  kuiz atas talian dengan menggunakan aplikasi " Quizlet". Kumpulan diberikan secara rawak dan kami perlu mencari nama pasangan yang tertera di dalam telefon. Kami perlu menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan fonologi, fonetik. sintaksis, morfologi dan sebagainya. Uniknya "game" ini ialah jika salah seorang daripada kumpulan kami menjawab jawapan yang salah, semua markah yang diperoleh akan menjadi kosong. Dari situ, kami mula memjawab bersama-sama dan terjalin lah ukhwah antara kami kerana masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Kami juga perlu bekerjasama antara satu sama lain kerana, soalan yang ditanya itu berulang-ulang dan ianya memerlukan daya ingatan yang kuat. 

 
HMT  415

Untuk subjek HMT 411, kami telah mendapat satu tugasan iaitu membuat proposal berkaitan dwibahasa, dwidialek atau kedua-duanya sekali. Kami juga perlu mendapatkan responden dalam kalangan pelajar USM atau di sekitar USM. Tugasan ini boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Saya memilih untuk membuat proposal ini secara berkumpulan. 

HMT 411

Sabtu, 14 September 2019

            Refleksi  : Minggu Pertama  bagi kelas HMT 415 dan HMT 411 


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca blog. Sudah lama rasanya saya tidak memuat naik entri baru dalam blog saya. Hal ini demikian kerana, saya agak sibuk untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan menghadapi kekangan masa untuk membuka blog. InsyaAllah, selepas ini saya akan bergiat aktif untuk menulis blog memandangkan saya sudah berada di tahun akhir dan semester akhir. Jika tiada aral yang melintang, saya akan menamatkan pengajian pada Februari tahun hadapan dan akan bergraduasi pada September tahun hadapan. 

Kelas HMT 415 ini diajarkan oleh Dr.Rozaida Binti Abdul Rauf dan dibantu oleh Dr. Radiah atau lebih dikenali sebagai Dr.Ody. Pada hari pertama, saya dan rakan-rakan yang lain agak terkejut kerana kami telah diberikan tugasan yang agak mencabar. Tugasannya ialah kami perlu mengubah lirik lagu Gemuruh Jiwa yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir dan Sesungguhnya yang dinyanyikan oleh Alif Satar.  Kami perlu memilih satu lagu sahaja dan mengubah lirik itu dengan lirik makanan. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan satu kumpulan dua orang sahaja, 

Jadi, saya telah memilih seorang rakan daripada Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang bernama Aina Farzana. Setelah berbincang, kami bersepakat untuk memilih lirik lagu Gemuruh Jiwa. Kami berdua telah memilih makanan "Mee Kari" untuk diubah dan masih mengekalkan tempo yang sama ketika bernyanyi. 

Di sini saya lampirkan, lirik lagu Gemuruh Jiwa yang telah diubah oleh saya dan rakan kumpulan saya iaitu Farzana. 

Masa berlalu semakin lapar,
Hasrat yang tersirat ku ingin Mee Kari, 
Bila terlihat Mee Kari itu, 
Perutku semakin berbunyi-bunyi. 

Marilah kita, kita ke dapur, 
Sediakan santan dan juga telur, 
Rempah-rempah telah disediakan, 
Sudah siap boleh dimakan.

Resepi ini dari turun-temurun,
Berkembang hingga ke generasi kini. 

Di atas merupakan lirik lagu yang telah dihasilkan oleh kami mengikut tempo lirik Gemuruh Jiwa. Jujur saya katakan, ini merupakan kali pertama kami diberikan tugasan yang sedemikian rupa. Pada awalnya, saya agak tertekan kerana saya tidak suka bernyanyi. Tetapi apabila kami berjaya menghasilkan lirik lagu tersebut, saya agak gembira. Pada pemikiran saya, mungkin Dr. Ody ada alasannya yang tersendiri. 

                                                    HMT 415 : PSIKOLINGUISTIK 
      


Kelas HMT 411 dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Radiah Binti Yusoff atau lebih mesra disapa dengan panggilan Dr.Ody dalam kalangan pelajar-pelajarnya. Kami diberikan tugasan berkaitan dengan Sejarah lisan. Sejarah lisan bermaksud satu proses menghasilkan sumber-sumber sejarah melalui teknik temu bual/wawancara/soal jawab yang dibuat melalui pita rakaman. 

Selain itu kami dikehendaki menemu bual seorang tokoh, dari serendah-rendah jawatan sehinggalah  setinggi-tinggi jawatan dan tidak kisahlah siapa pun orangnya kami perlu menjaga adab ketika bercakap. Jujur saya katakan, pengalaman yang sebegini rupa memang sukar dicari dan jika dapat peluang itu rebutlah sebaik mungkin. 

Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Dr.Ody kerana tidak jemu memberi nasihat, teguran dan dorongan kepada kami untuk menghabiskan sisa baki sebagai seorang pelajar. Dr.Ody juga banyak membantu kami untuk melonjakkan diri dan harapan beliau adalah untuk melihat anak-anak pelajarnya berjaya kelak dan menjadi insan yang berguna. 


              HMT 411 : TEORI  DAN KAEDAH DALAM PENYELIDIKAN LINGUISTIK 


Rabu, 20 Disember 2017

TAJUK : IKATAN KEKELUARGAAN MULA TERJALIN
HASIL NUKILAN : ROS SHUHADA BT MUHAMAD

Sejak aku bermajorkan Bahasa Melayu, banyak perkara yang aku belajar terutamanya selepas aku mengikuti kelas HMT 213 iaitu Komunikasi Lisan yang diajar oleh seorang pensyarah yang sangat ‘sporting’ dan ‘happy go lucky’. Pensyarah itu bernama Dr. Odi a.k.a Dr. Radiah. Cara dan perwatakannya telah menghiburkan kami semua. Pada awalnya, kami agak terbeban dengan tugasan yang diberikan tetapi akhirnya kami sedar bahawa setiap tugasan yang diberikan oleh Dr. Odi sedikit sebanyak telah mengeratkan hubungan sesama kami. Kami bagaikan satu keluarga dan ikatan kekeluargaan mula terjalin di sini.
***
“Aku nak balik kampung lah cuti hujung minggu ni, aku rindu ‘family’ aku di kampung,” ujarku kepada rakan-rakanku iaitu Birah dan Asyikin.

“Ehh, kau nak balik kampung? Biar betul Cik Ros, tugasan yang Dr.Odi bagi tu pun kita tak sempat buat lagi! kata Asyikin kepadaku.

“Entah kau ni, kita kena siapkan tugasan tu minggu ni weh. Kalau kau balik kampung aku takut kau tak sempat nak ‘submit’ tugasan kau nanti,” ujar Birah pula kepadaku.

“Betul juga cakap korang. Hmm, tugasan semakin banyak, mana sempat aku nak balik kampung. Nampak gayanya, aku terpaksa ketepikan perasaan rindu aku dekat ‘family, aku yang yang jauh di mata tetapi dekat di hati, ” Ujarku dalam keadaan ketawa kepada mereka.

“Alah Cik Ros, kau jangan risau lah. Yang penting, jom kita buat tugasan yang Dr. Odi bagi ‘settle’ dulu. Dah ‘settle’ tugasan Dr. Odi kau balik lah weh, ” ujar Asyikin kepadaku.

“Kejap-kejap aku nak tanya korang. Korang dah siap ke rakam video yang Dr.Odi suruh tu? ” tanyaku kepada rakan-rakanku.

“Allahu, aku tak sempat lah nak rakam hari tu sebab aku ada kem. Mana lah sempat aku nak buat weh,” balas Asykin kepada aku.

“Takpa-takpa. Kita boleh buat sekali. Aku tolong korang, korang tolong aku. Kita sama-sama bantu weh. Kita kan dah macam satu ‘family’. Lagipun ‘family’ kita kan jauh, rakan-rakan lah yang jadi ‘family’ kita di sini,” ujar Birah kepada kami.

“Betul kata kau tu Birah. Aku sokong sangat. Masa ni lah kita ambil peluang untuk eratkan hubungan kita. Tak gitu? ” balasku kepada mereka.

“Kau tahu tak pun, ingatkan tak tahu ! Ujar Asyikin kepadaku dalam keadaan ketawa.

Setelah berbicara dengan mereka baru aku tahu yang rakan-rakan juga boleh menjadi keluarga di saat aku jauh daripada keluarga. Semakin lama aku kenal mereka, semakin utuh hubungan yang terjalin. Rakan bukan sahaja dijadikan rakan semata-mata, tetapi boleh dijadikan sebagai keluarga di saat aku jauh dari keluarga. Mereka bukan sahaja telah membantu aku, tetapi mereka telah mewarnai kehidupan aku di sini sebagai seorang pelajar universiti.

Perasaan suka dan duka aku berkongsi dengan mereka. Mereka juga sebaliknya. Mereka juga akan berkongsi masalah dengan aku. Kami sudah ibaratkan sebagai kakak dan adik. Jika ada di antara kami yang sedang menghadapi masalah, kami akan berusaha untuk membantu dan meringankan beban yang ditanggung. Bagi aku, dengan adanya rakan disisi sedikit sebanyak mampu menghilangkan rasa rindu aku terhadap keluarga aku yang jauh di kampung. 

***
Boleh dikatakan hampir setiap minggu, ada sahaja tugasan yang diberikan oleh Dr. Odi. Tugasan yang tidak boleh dilupakan adalah kami diarahkan oleh Dr.Odi untuk membuat dua video yang bertajuk ‘Karenah Seorang Pelajar’ dan ‘Dia Sahabat Dia Cinta’. Pada awalnya, agak susah untuk menghasilkan video ini. Hal ini demikian kerana untuk menghasilkan video ini, kami perlu bekerjasama di antara satu sama lain kerana Dr.Odi mewajibkan semua pelajar perlu ada di dalam video tersebut. Ada yang di antara kami sibuk dengan urusan lain, justeru kami mengambil keputusan untuk berbincang. Walaupun ada  berlaku perselisihan faham ketika menyiapkan video tersebut tetapi Alhamdulillah kami sudah berjaya menghasilkan sebuah video yang begitu gempak dan mantap. Ramai rakan-rakan yang memuji berkaitan video tersebut.

“Weh korang perasan tak satu benda ni?,” ujarku kepada rakan-rakanku. 

“Benda apa weh, kau beritahu lah ! kata Asyikin.

“Sejak kita buat video hari tu kan, kau perasaan tak yang kita dah mula rapat dengan ‘classmate’ kita yang lain sedangkan sebelum ni kita setakat berbalas senyuman dan pandangan sahaja,” balasku kepada Asyikin.

“Betul lah weh, aku pun perasan benda ni. Aku rasa hubungan kita semua pun dah makin erat kan sejak kita bekerjasama untuk menyiapkan video yang Dr.Odi suruh kita buat tu ! balas Birah pula kepada kami. 

“Kan aku dah bagitau tadi. Sebab tu lah aku tanya korang, sebab aku dah lama perasan benda ni,” ujarku kepada mereka.

“Aku pun rasa benda yang sama weh. Kalau tidak kita bertiga ja, sekarang kita dah ada ramai rakan dengan adanya geng major Bahasa Melayu ni. Betul tak korang?,” ujar Asykin.

“Betul-betul ! Balas aku dengan Birah serentak.

“Ehh, korang ! Kita kan dah janji dengan ‘classmates’ kita yang kita nak sarapan sekali hari ini. Kalau tak silap, Dr.Odi pun ‘join’ kan? ” tanyaku kepada mereka.

“Haah, aku lupa lah weh. Jom korang pergi ‘cafe’. Nanti diorang tertunggu-tunggu kita, kesian pula,” balas Birah dengan nada yang kesal.

“Okay, baiklah. Jom-jom, ” ajak Asyikin sambil melintas jalan bersama-sama dengan Cik Ros dan Birah. 

Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sebelum ini, aku dan ‘classmates’ agak terbeban dengan tugasan yang diberikan oleh Dr. Odi tetapi akhirnya kami merasakan bahawa setiap tugasan yang diberikan oleh Dr.Odi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Sekarang barulah kami faham, kenapa Dr.Odi memberikan tugasan yang perlu dilakukan secara berkumpulan. Dengan adanya tugasan berkumpulan sedikit sebanyak telah membuatkan ikatan silaturrahim dan ikatan  kekeluargaan terjalin erat di antara kami. Walaupun kami pelajar yang bermajorkan Bahasa Melayu tidak ramai, tetapi kami tetap ada. Sejak daripada itu, kami mula rapat dan mula kenal antara satu sama lain. Sebelum ini kami hanyalah berkawan sahaja tidak lebih daripada itu. Boleh dikatakan kami hanya berbalas senyuman dan pandangan sahaja. Tetapi sekarang kami ibarat sebagai sebuah keluarga.

Alhamdulillah, dengan bantuan Dr.Odi kami sudah menjadi sebuah keluarga yang saling memerlukan. Hal ini berlaku kerana semua orang merasakan perkara yang sama. Bukan aku sahaja yang merasakan perkara ini, tetapi semua ‘classmates’ kita merasakan perkara yang sama. Aku sangat berharap semoga ikatan kekeluargaan yang terjalin di antara kami akan utuh selamanya biarpun kami sudah menamatkan pengajian di sini.
***
“Banyak kan program yang dibuat. Yang pastinya semua program yang dijalankan banyak faedahnya. Aku belajar banyak perkara sebenarnya.” ujarku kepada rakan-rakanku.

“Betul kata kau Cik Ros, aku pun rasa benda yang sama,” balas Asykin.

“Korang jangan lupa, program-program yang dijalankan ini telah membantu kita menjadi satu keluarga iaitu keluarga major Bahasa Melayu,” kata Birah kepada kami.

“Betul tu. Aku sokong ! Balas aku dan Asyikin serentak.

Dalam hidup, tidak ada yang namanya kebetulan melainkan semuanya telah dirancang oleh Allah. Aku sangat bersyukur kerana Dr.Odi telah muncul dalam hidup aku dan rakan-rakanku yang lain. Bagi kami, Dr.Odi merupakan bonda kami di sini. Beliau banyak mengajar kami tentang erti kehidupan. Cara dan perwatakan beliau amat menghiburkan hati kami.  Aku sangat berterima kasih kepada Dr.Odi kerana telah membuatkan hubungan kami semakin erat dan ikatan kekeluargaan juga terjalin di antara kami.


Banyak perkara yang telah kami kongsi bersama. Kadang-kadang dalam pergaulan ada yang terasa hati, ada yang bermasam muka dan sebagainya tetapi akhirnya kami akan berbaik semula. Jelas kelihatan, ikatan kekeluargaan itu semakin erat terjalin. Segala kenangan manis dan pahit akan sentiasa bermain di minda. Aku sangat berharap yang ikatan kekeluargaan yang telah terbina ini, akan terus terjalin di antara kami semua. Semoga kita semua berada di dalam perlindungan-Nya. 

TAJUK : HATI YANG TERSAKITI
HASIL NUKILAN : ROS SHUHADA BT MUHAMAD

***
“Aku dah buat pengakuan dekat si dia,” ujar Nabila Hanna.

“Ehh, kau biar betul. Macam tak percaya je,” balas sahabat baiknya, Zara Imani.

“Serius weh, aku dah beritahu tapi entah lah dia macam tak faham je. Katanya dia anggap aku sebagai kawan je, tak lebih dari tu,” kata Nabila.

“Dah tu kenapa kau terhegeh-hegeh lagi dekat mamat tu. Cari lah laki lain. Banyak lagi kot laki lain,” balas Zara.

“Amboi kau ni Zara, mudahnya kau cakap. Dia tak sama macam laki lain kau tahu tak? Aku tak boleh lah. Hati aku masih dekat dia. Tolong lah faham aku. Kau satu-satunya sahabat yang aku ada. Kau faham kan, aku macam mana? ” ujar Nabila.

“Ye, aku memang faham kau Nabila tapi sampai bila kau nak tunggu dia. Kau suka dia, tapi dia anggap kau kawan dia je. Aku nasihatkan kau ‘move on’ je lah dengan dia. Mungkin kau akan kata senangnya aku cakap ‘move on’ tapi nak ‘move on’ tu lah yang susahnya. Tapi sekurang-kurangnya kau takde lah  nak tunggu dia. Dia anggap kau kawan je beb. Sedar lah sikit.  Mungkin dia dah ada orang lain dalam hati dia,” balas Zara kepada Nabila.

“Okay, baiklah aku cuba untuk ‘move on’. Tapi aku tak janji akan lupakan dia. Aku akan tunggu dia sehinggalah aku tahu dalam hati dia dah ada orang lain,” ujar Nabila.

“Hisy, kau ni kan Nabila degil betul lah. Orang nasihat tak nak dengar. Nanti kalau apa-apa berlaku jangan salahkan aku. Masa tu kau baru tahu langit tu rendah ke tinggi,” balas Zara.

Selepas itu, kendengaran pintu bilik dihempas kuat oleh Nabila Hanna.

***
Nabila Hanna masih tetap dengan keputusannya. Ternyata dia masih tidak boleh melupakan Farish Hakimi iaitu lelaki yang disukainya. Sudah berulang kali sahabat baiknya menasihatinya, namun dia tetap berdegil. Masih adakah harapan untuk Nabila Hanna untuk mendapatkan Farish Hakimi? Zara Imani tertanya-tanya.

“Zara, aku nak beritahu kau ‘something’ ni. Kau janji, kau jangan marah ye,” ujar Nabila.

“Kau tak beritahu lagi, kau dah kata jangan marah. Ape hal ni? Berkaitan mamat tu lagi ke?” balas Zara.

“Sebenarnya kan, selama ni aku tipu kau, Zara. Aku bagitau dekat kau yang aku dah ‘move on’ tapi sebenarnya aku tak boleh ‘move on’ lagi. Mulut je cakap nak ‘move on’ tapi hati tak pun,” kata Nabila dengan nada yang sedih.

“Hmmm, aku dah agak dah, Nabila. Tapi kau jangan risau, aku tak marah. Itu hak kau. Yang penting jangan sampai  kau yang tersakiti pula nanti. Kau kena ingat, aku sayang kau. Kalau boleh, aku tak nak kau sedih,” balas Zara.

“Kau tengok apa tu, Nabila?” tanya Zara.

“Aku… aku tengah ‘stalk’ instagram Farish Hakimi. Kau tak marah kan?” tanya Nabila kepada sahabat baiknya.

“Hmmm, ‘no comment’. Okay lah Nabila, aku nak tidur dulu. Esok kan kita ada kelas pagi. Kau jangan bangun lewat pula. Kang tak pasal-pasal kena denda pula,” balas Zara sambil bangun menuju ke bilik.
***
Satu tahun telah pun berlalu, Nabila Hanna masih menyukai Farish Hakimi sedangkan Farish Hakimi masih menganggap Nabila Hanna sebagai kawan. Apakah pengakhiran kisah Nabila Hanna dan Farish Hakimi? Akan adakah hati yang dilukai dan tersakiti. Zara Imani, termenung sendirian memikirkan perihal sahabat baiknya itu.

Pada suatu hari, Zara kelihatan leka bermain bermain instagram. Secara kebetulan, dia ternampak ‘story’ Farish Hakimi di dalam instagram. Farish Hakimi telah mengatakan bahawa dia menyukai seseorang, dan dia mohon restu daripada ibu dan ayahnya. Pada firasat Zara, seseorang yang dimaksudkan oleh Farish Hakimi itu bukanlah Nabila Hanna tetapi orang lain. Mahu tidak mahu, Zara terpaksa menunjukkan ‘story’ itu kepada Nabila. Setelah itu, Nabila mengatakan bahawa adakah seseorang yang dimaksudkan itu adalah dia? Zara, tiada jawapan untuk itu melainkan bertanya kepada Farish Hakimi sendiri.

Setelah bertanya kepada Farish Hakimi, Zara Imani sudah mempunyai jawapan. Zara ingin memberitahu perkara itu kepada Nabila, namun dia risau perkara ini akan memberikan tamparan yang hebat buat Nabila.  Mahu tidak mahu, Zara terpaksa menceritakan segala-galanya kepada Nabila.
***
“Kenapa baru sekarang aku dapat tahu? Setelah sekian lama aku menunggu,” ujar Nabila dalam keadaan sedih.

“Aku sebenarnya rasa bersalah tetapi aku perlu beritahu kau. Seseorang yang hadir dalam hidup Farish Hakimi bukanlah kau Nabila tetapi orang lain. Tapi, aku terpaksa beritahu kau, Nabila. Aku tidak mahu kau terus mengharapkan dia,” balas Zara dalam keadaan tenang.

“Aku  redha Zara. Aku tahu, aku bukanlah siapa-siapa bagi dia. Yang aku kesalkan kenapalah aku tidak tahu dari dulu. Betapa peritnya menanggung perasaan ini. Aku tidak berdaya Zara,” kata Nabila dalam keadaan menangis.

“Kau buat aku semakin rasa bersalah lah, Nabila. Satu perkara yang kau kena tahu, nak cari lelaki biarlah yang betul-betul sayangkan kita. Kalau kita yang sayangkan dia, dia akan tinggalkan kita untuk seseorang yang dia sayang. Itu sahaja yang aku boleh cakap buat masa ini,” balas Zara kepada Nabila.

“Tak pe, Zara. Sekurang-kurangnya, aku dah dapat jawapan. Aku amat berterima kasih kepada kau. Kaulah sahabat dunia dan akhirat aku. Sekali lagi, terima kasih Zara ! Aku akan ingat kata-kata kau sampai bila-bila,” ucap Nabila sambil menangis lagi.

“Sebelum tu, aku nak beritahu kau yang Farish minta maaf sebab tidak boleh terima kau dan dia yakin sesuatu hari nanti kau akan jumpa lelaki yang betul-betul sayangkan dan boleh terima kau seadanya,” kata Zara kepada Nabila.

“Bila aku dah suka seseorang, agak sukar untuk aku terima untuk lain dalam hidup aku. Aku nak dia Zara. Aku yakin, walaupun sepuluh yang datang tapi tidak akan sama dengan seorang yang pergi. Tapi biarlah dia dengan hidup dia, aku dengan hidup aku. Mulai detik ini, aku akan ‘move on’ seiring dengan hatiku bukan hanya setakat di mulut sahaja. Itu janji aku pada kau, Zara. Kau boleh kan bantu aku? ” tanya Nabila kepada sahabat baiknya.

“Aku akan bantu kau, Nabila. Cukup-cukuplah kau bazirkan air mata kau tu. Air mata tu mahal tau. Jangan bazirkan untuk orang yang tidak menghargai kau ! balas Zara.

***
Selepas kejadian itu, Nabila Hanna benar-benar ‘move on’ terhadap Farish Hakimi. Baginya Farish Hakimi sudah mati dan tidak wujud lagi di dunia yang fana ini.

“Kau macam mana sekarang? Dah okay ke? Masih sedih ke? ” tanya Zara.

“Macam mana ehh nak bagitau kau. Yang pastinya aku tidak mahu lagi kau sebut lagi pasal dia. Aku dah tak nak dengar,” ucap Nabila.

“Alhamdulillah, sekarang kau dah banyak berubah berbanding dulu ! Nampaknya, kau benar-benar kotakan janji kau pada aku dulu. Aku bangga dengan kau, Nabila. Walaupun, hati kau dah disakiti tapi kau masih lagi tersenyum macam tidak ada apa-apa yang berlaku,” balas Zara.

“Aku serahkan semuanya kepada Allah termasuk lah jodoh. Sekarang, aku hanya mahu tumpukan kepada pelajaran aku sahaja. Yang berlalu, biarkan berlalu. Aku tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama,” ujar Nabila.
***

Kini, Nabila Hanna semakin gembira dengan kehidupannya. Dia mempunyai keluarga yang sangat menyanyanginya dan mempunyai sahabat baik yang sentiasa mengambil berat terhadapnya. Walaupun, hatinya telah tersakiti namun dia bangkit semula. Dia telah menerima Lukman Harris dalam hidupnya. Lukman Harris sangat menyanyangi Nabila Hanna. Dia teringat kembali kata-kata Izara Imani iaitu pilihlah lelaki yang sayangkan kita, jangan pilih lelaki yang kita sayangkan dia. Nabila Hanna sangat gembira dan bersyukur berada di samping Lukman Harris. Izara Imani tumpang gembira di atas kebahagian sahabat baiknya iaitu Nabila Hanna. Demikianlah, kisah Nabila Hanna, walaupun hatinya disakiti tetapi akhirnya Nabila Hanna bahagia bersama dengan Lukman Harris. 

Khamis, 14 Disember 2017

PERIBAHASA SEPERTI API DALAM SEKAM

                               
                                  
                               PERIBAHASA SEPERTI  API DALAM SEKAM 


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini saya ingin menceritakan tentang peribahasa api dalam sekam. Tetapi sebelum itu, jom kita berkenalan dengan maksud peribahasa terlebih dahulu.  Peribahasa ialah ayat atau susunan kata yang mempunyai maksud tertentu yang biasanya merujuk kepada maksud berkias, berlapik ataupun tersirat. Menurut Za'ba, peribahasa didefinisikan sebagai segala susunan cakap pendek yang telah melekat di mulut orang ramai sejak turun temurun kerana sedap didengar dan perkataannya bijak, ringkas, luas dan mempunyai maksud yang mendalam. Peribahasa ini digunakan dan menjadi sebutan oleh masyarakat sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Peribahasa ini menjadi cakap-cakap bijaksana yang ringkas yang telah digunakan pada zaman dahulu dan telah masyhur terpakai pada mulut orang ramai dan kadang kala diumumkan namanya sebagai "perkataan orang tua-tua" sahaja. Selain itu, peribahasa juga diguna pakai untuk membuat dan menghiasi karangan atau pun sesuatu percakapan. Di samping itu, peribahasa juga boleh dijadikan sebagai pedoman hidup kerana maksud dan isinya yang benar dan luas.

Berbalik kepada peribahasa seperti api dalam sekam, peribahasa ini membawa maksud sesuatu yang berlaku dalam diam-diam dan tanpa disedari atau sesuatu rasa dendam yang tersembunyi. Sebagai contohnya, Encik Kamil seperti api dalam sekam kerana niat jahatnya baru sahaja diketahui oleh orang ramai. Peribahasa ini wujud kerana orang tua-tua dahulu agak gemar menggunakan peribahasa yang tersirat dan berlapik apabila bercakapan. Peribahasa ini dikaitkan dengan api dan sekam. Api yang sedang membakar akan kelihatan nyalaannya sekaligus memberi amaran bahaya agar jangan didekati. Namun sekiranya, kehangatan itu terlindung, maka jadilah ia seperti ancaman yang tidak kelihatan yang mana lebih membahayakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, api sangat bahaya dan kita tidak boleh main-main dengan api.


Api yang bernyala itu sudah memberi amaran kepada kita supaya lebih berhati-hati. Tetapi apabila api itu ditutupi ia tidak kelihatan seperti bahaya. Jadinya, kita akan medekatinya lagi. Niat jahat orang terhadap kita pun, kita tidak akan nampak. Api ialah suatu reaksi kimia yang terbentuk dari 3 unsur iaitu panas, oksigen dan bahan mudah terbakar yang menghasilkan panas dan cahaya. Sekam pula membawa maksud kulit padi iaitu sesudah padi itu ditumbuk. Kulit padi itu mungkin akan dibuang atau pun akan disimpan. 


Jadi mereka menggunakan api dan sekam ini untuk dijadikan sebagai peribahasa. Jika api dalam sekam digabungkan, akan membawa maksud sesuatu yang dilakukan itu dalam diam-diam dan tidak diketahui oleh orang lain. Mungkin pada zaman dahulu, ada segelintir daripada masyarakat yang mempunyai niat jahat ataupun menyimpan dendam dalam diri. Apabila mereka disindir dengan peribahasa ini, sedikit sebanyak akan menyedarkan mereka bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu adalah salah. Oleh sebab itu, maka wujudlah peribahasa seperti api dalam sekam yang digunakan oleh masyarakat kita sehingga ke hari ini. 


Cara peribahasa ini digunakan untuk "literasi internet" ialah dengan adanya literasi internet, masyarakat akan lebih berhati-hati dengan individu yang mempunyai niat jahat ataupun dendam yang tersembunyi. Hal ini demikian kerana, jaringan internet telah memberi kemudahan kepada kita untuk  mengakses maklumat. Segala berita berkaitan api dalam sekam mudah diakses oleh masyarakat dengan adanya literasi internet ini. Melalui internet, masyarakat dapat memahami serba sedikit tentang peribahasa api dalam sekam. Zaman teknologi yang serba canggih ini telah membawa banyak perubahan kepada kita di samping memudahkan kita untuk mendapatkan maklumat. Walaupun kita tidak tahu siapa yang dilabelkan sebagai api dalam sekam, sekurang-kurangnya kita boleh berhati-hati dengan orang sekekeling.


Sekian, terima kasih. 


RUJUKAN

https://www.powtoon.com