Refleksi : Minggu Pertama bagi kelas HMT 415 dan HMT 411
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca blog. Sudah lama rasanya saya tidak memuat naik entri baru dalam blog saya. Hal ini demikian kerana, saya agak sibuk untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan menghadapi kekangan masa untuk membuka blog. InsyaAllah, selepas ini saya akan bergiat aktif untuk menulis blog memandangkan saya sudah berada di tahun akhir dan semester akhir. Jika tiada aral yang melintang, saya akan menamatkan pengajian pada Februari tahun hadapan dan akan bergraduasi pada September tahun hadapan.
Kelas HMT 415 ini diajarkan oleh Dr.Rozaida Binti Abdul Rauf dan dibantu oleh Dr. Radiah atau lebih dikenali sebagai Dr.Ody. Pada hari pertama, saya dan rakan-rakan yang lain agak terkejut kerana kami telah diberikan tugasan yang agak mencabar. Tugasannya ialah kami perlu mengubah lirik lagu Gemuruh Jiwa yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir dan Sesungguhnya yang dinyanyikan oleh Alif Satar. Kami perlu memilih satu lagu sahaja dan mengubah lirik itu dengan lirik makanan. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan satu kumpulan dua orang sahaja,
Jadi, saya telah memilih seorang rakan daripada Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang bernama Aina Farzana. Setelah berbincang, kami bersepakat untuk memilih lirik lagu Gemuruh Jiwa. Kami berdua telah memilih makanan "Mee Kari" untuk diubah dan masih mengekalkan tempo yang sama ketika bernyanyi.
Di sini saya lampirkan, lirik lagu Gemuruh Jiwa yang telah diubah oleh saya dan rakan kumpulan saya iaitu Farzana.
Masa berlalu semakin lapar,
Hasrat yang tersirat ku ingin Mee Kari,
Bila terlihat Mee Kari itu,
Perutku semakin berbunyi-bunyi.
Marilah kita, kita ke dapur,
Sediakan santan dan juga telur,
Rempah-rempah telah disediakan,
Sudah siap boleh dimakan.
Resepi ini dari turun-temurun,
Berkembang hingga ke generasi kini.
Di atas merupakan lirik lagu yang telah dihasilkan oleh kami mengikut tempo lirik Gemuruh Jiwa. Jujur saya katakan, ini merupakan kali pertama kami diberikan tugasan yang sedemikian rupa. Pada awalnya, saya agak tertekan kerana saya tidak suka bernyanyi. Tetapi apabila kami berjaya menghasilkan lirik lagu tersebut, saya agak gembira. Pada pemikiran saya, mungkin Dr. Ody ada alasannya yang tersendiri.
HMT 415 : PSIKOLINGUISTIK
Kelas HMT 411 dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Radiah Binti Yusoff atau lebih mesra disapa dengan panggilan Dr.Ody dalam kalangan pelajar-pelajarnya. Kami diberikan tugasan berkaitan dengan Sejarah lisan. Sejarah lisan bermaksud satu proses menghasilkan sumber-sumber sejarah melalui teknik temu bual/wawancara/soal jawab yang dibuat melalui pita rakaman.
Selain itu kami dikehendaki menemu bual seorang tokoh, dari serendah-rendah jawatan sehinggalah setinggi-tinggi jawatan dan tidak kisahlah siapa pun orangnya kami perlu menjaga adab ketika bercakap. Jujur saya katakan, pengalaman yang sebegini rupa memang sukar dicari dan jika dapat peluang itu rebutlah sebaik mungkin.
Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Dr.Ody kerana tidak jemu memberi nasihat, teguran dan dorongan kepada kami untuk menghabiskan sisa baki sebagai seorang pelajar. Dr.Ody juga banyak membantu kami untuk melonjakkan diri dan harapan beliau adalah untuk melihat anak-anak pelajarnya berjaya kelak dan menjadi insan yang berguna.
HMT 411 : TEORI DAN KAEDAH DALAM PENYELIDIKAN LINGUISTIK